sukan

Boleh bayar ansuran tapi dengan syarat — Paulo Josue

Kapten Kuala Lumpur City, Paulo Josue, boleh berkompromi andai pihak pengurusan kelab itu mahu membayar tunggakan gajinya secara ansuran tetapi bersyarat.

Tambahnya, pekongsiannya mengenai tunggakan gaji selama tujuh bulan sebelum ini bukanlah sesuatu yang diada-adakan, malah dia berterima kasih andai pembahayaran dua bulan pertama gajinya dapat dilangsaikan minggu depan.

Timbul desas-desus bahawa pemain dengan gelaran Mr. Kuala Lumpur itu akan meninggalkan skuad Warga Kota berkenaan tetapi Josue mengegaskan bahawa dia tidak akan berpaling daripada pasukan kesayangannya itu.

“Saya tiada masalah, saya sudah katakan berkali-kali (sedia bertoleransi) jika kelab ini mengalami masalah kewangan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

“Mereka boleh membayarnya secara ansuran atau apa-apa cara tetapi sudah pasti ia perlu datang dengan kertas cadangan dan saya perlu memikirkannya bersama keluarga saya.

“Tetapi saya harap semuanya akan baik-baik sahaja. Saya hanya harap gaji pemain-pemain kami dapat dibayar minggu depan seperti yang dijanjikan agar sekurang-kurangnya dapat melegakan beban mereka kerana semua pemain sedang bergelut daripada segi kewangan.”

Mengulas mengenai spekulasinya akan meninggalkan KL City, Josue berkata: “Tidak sama sekali, saya sudah berbincang dengan Stanley (Bernard, Ketua Pegawai Eksekutif KL City) beberapa kali.

“Saya tidak mahu tinggalkan pasukan ini, saya tidak mahu meninggalkan negara ini dan saya tidak mahu ke pasukan lain.
“Bagi saya, segalanya amat mudah untuk diselesaikan dan saya hanya memerlukan kelab untuk memberikan saya komitmen mereka untuk membayar gaji saya.

sumber:- BH

“Saya masih ada kontrak dua tahun, jadi jika kelab ada masalah dan perlukan sedikit pengurangan, saya tiada masalah.
“Tetapi sudah pasti saya memiliki bayaran gaji yang termaktub dalam kontrak dan mahukan gaji tepat pada masanya tetapi jika mereka bergelut, saya tiada masalah untuk bertimbang rasa,” katanya.