Persembahan buruk yang ditampilkan pasukan Perak FC dalam perlawanan menentang Penang FC di Stadium Perak di sini pada malam Sabtu nyata mengecewakan ketua jurulatih, Yusri Che Lah.
Menurut Yusri, prestasi ditunjukkan oleh anak buahnya itu amat sukar diterima kerana bermain di tempat sendiri yang seharusnya mencipta kemenangan.
Jelasnya, persiapan yang dibuat selama tiga minggu untuk mengharungi perlawanan penting dengan kemenangan tidak dapat direalisasikan.
“Ini pertama kali saya menyuarakan rasa amat tidak puas hati dengan pemain-pemain saya di mana selama ini saya tidak pernah mengeluarkan perkataan-perkataan terhadap pemain saya tetapi tahap kesabaran seseorang itu saya rasa ada had.
“Saya rasa pemain harus dihukum dengan kekalahan pada malam ini dan sepatutnya mereka rasa malu dengan persembahan sendiri.”Saya rasa ini merupakan persembahan paling buruk pemain daripada lima perlawanan yang telah kita tampilkan dalam liga mahupun Piala FA,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super di antara Perak FC dengan Penang FC di Stadium Perak pada malam Sabtu.
Yusri berkata, semua pemain kelihatan hilang keyakinan seolah-olah tidak menginginkan kemenangan dengan semua pergerakan serba tidak menjadi.
Jelasnya, semua kesalahan mudah yang dilakukan pemain tidak seharusnya berlaku ketika pasukan amat memerlukan kemenangan selepas menanggung empat kekalahan sebelum ini.
Beliau turut meluahkan rasa kurang senang dengan prestasi pemain import yang gagal menunjukkan prestasi setaraf dengan gaji diterima.
“Kalau tanya saya malam ini (Sabtu), saya tak puas hati secara jujurnya. Seandainya mereka menerima bayaran yang diterima ketika ini, sepatutnya mereka menunjukkan sikap yang lebih komited walaupun saya tahu dengan pandangan peribadi ini pemain tak berpuas hati, tetapi saya perlu bercakap dengan sebenar-benarnya seandainya mereka terus dibuai angan-angan tanpa berusaha.
“Amaran akan berlaku, ini wake up call untuk semua yang terlibat. Semua mengambil tanggungjawab bukan saya seorang tapi semua jurulatih dan juga para pemain harus bertanggungjawab. Lima perlawanan kalah, satu perlawanan menang merupakan satu rekod yang buruk,” katanya.
Sementara itu, Yusri mahu pemainnya segera meningkatkan pretasi masing-masing menjelang jendela perpindahan pemain kedua yang akan dibuka nanti.
Jelasnya, beberapa rombakan akan dilakukan di dalam pasukan bagi memastikan pemain tidak terlalu selesa dengan kedudukan masing-masing.
sumber:- SH
Pada malam Sabtu, Perak FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri di hadapan lebih 5,000 penyokong apabila tewas 0-2 kepada Penang FC.