sukan

Terjahan nak tamatkan karier pemain lawan

Terjahan keras dengan niat untuk mencederakan pemain lawan sudah pasti pengakhirannya adalah menerima layangan kad merah.

Akan tetapi perkara itu tidak terjadi dalam perlawanan Liga Super minggu kelima antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC apabila penyerang tuan rumah, Syafiq Ahmad hampir mengalami kecederaan serius selepas pemain pertahanan lawan, Hafizal Mohammad dengan sangat laju menerpa sebelum melakukan terjahan ‘maut’.

Pemain KDN FC bernasib baik apabila pengadil perlawanan hanya memberikan kad kuning sahaja meskipun dia seakan-akan tidak berpuas hati di kala cara dan niat dirinya sememangnya bukan ingin mendapatkan bola dan hampir meranapkan impian penyerang kelahiran Pulau Pinang itu bagi mencari kembali rentak permainan terbaiknya.

Menerusi video pendek yang dikongsikan oleh Reppm4rtin di akaun Tiktok miliknya itu, begitu jelas kelihatan Hafizal melakukan terjahan keras malah semakin dekat semakin laju lariannya ke arah Syafiq.

Perkara itu mendapat perhatian peminat yang menganggap cara Hafizal itu amat bahaya dalam permainan bola sepak dan sepatutnya diberikan kad merah.

“Kad merah, bukan menuju ke arah bola tapi menuju ke kaki pemain lawan,”kata Mir Hizaq.

“Sepatutnya kad merah dan ban seumur hidup. Tackle nak habiskan karier orang itu. Bukan nak main bola sangat,” kata Amar.

“Nasib baik kawan itu (Syafiq) lompat, kalau tidak, enam bulan pula la (berehat sekiranya mengalami kecederaan serius,” kata Ir Syu.

Malah ada juga segelintir penyokong mempersoalkan pengadil yang bertugas pada malam itu apabila tidak mengambil keputusan untuk memeriksa Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk melakukan tindakan yang lebih tepat dan selayaknya dalam situasi seperti itu.

Terdahulu, tuan rumah menepati ramalan apabila mudah melakar kemenangan ke atas KDN FC 3-0 di Stadium Darul Aman Jumaat lalu.

Dalam perlawanan itu, tiga jaringan terhasil dari Rizal Ghazali minit ketujuh, Syafiq Ahmad (m-57) dan Sony Norde (m-72).

sumber:- HM

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Nafuzi Zain berada di kedudukan ke lima liga selepas lima perlawanan dengan tiga kemenangan dan dua kekalahan.