Kapten Kuala Lumpur (KL) City, Paulo Josue tetap setia dengan pasukan itu walaupun mendakwa berdepan tunggakan gaji selama tujuh bulan.
Ia susulan pemain naturalisasi berusia 35 tahun itu menjelaskan dia belum ada perancangan untuk berhijrah sambil masih mengharapkan isu tunggakan gaji dapat diselesaikan.
Dia yang juga pemain kebangsaan mengakui selesa tinggal di bandar Kuala Lumpur bersama keluarga dan memiliki hubungan baik dengan semua pihak dalam pasukan KL City.
“Berkenaan berhijrah ke pasukan lain, buat masa sekarang tidak. Saya masih komited sepenuhnya dengan pasukan. Jadi saya belum ada rancangan untuk berpindah dari sini.
“Saya hanya mahu semuanya diselesaikan dan kami boleh terus bermain bersama pasukan KL City.
“Namun, seandainya kelab jatuh (disebabkan isu gaji) atau sesuatu yang serupa, saya tidak boleh berada di sini. Saya perlu mencari tempat lain untuk bekerja (bermain).
“Apapun ia (berhijrah) bukan rancangan saya sekarang. Jika tawaran datang saya perlu melihatnya dan berbincang dengan ejen saya dan keluarga,” katanya.
Josue sebelum ini dilaporkan mendakwa dia tidak dibayar gaji selama tujuh bulan sejak Disember tahun lalu.
sumber:- BH
Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar dalam laporan BH Sukan, kelmarin menjelaskan pengurusan pasukan KL City akan membayar dua bulan gaji dalam masa terdekat yang mana difahamkan ia membabitkan gaji bagi Mei dan Jun.