PEMAIN perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia tidak pernah lekang daripada kontroversi sejak muncul juara All England 2021 di Birmingham, England.
Bermula dengan keputusannya keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia pada awal 2022, diikuti menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022 sehinggalah menerima bayaran ‘hak imej’ bagi menyertai skuad kebangsaan pada Piala Thomas 2024 di Chengdu, China; Zii Jia sering menjadi mangsa kritikan termasuk media tempatan.
Selepas tersingkir daripada pusingan 16 terbaik di tangan jaguh China, Chen Long, pada penampilan sulung Sukan Olimpik di Tokyo 2020, tumpuan sekali lagi terarah kepada kemampuan pemain nombor tujuh dunia itu bagi edisi 2024 di Paris.
Sama ada kekal dihujani kritikan atau dilambung pujian, segala-galanya bergantung kepada Zii Jia untuk menjelmakan magis yang mampu mempersonakan jutaan rakyat Malaysia sewaktu beraksi di Porte de la Chapelle Arena nanti.
Malah Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin, menerusi pertemuannya dengan pemain berusia 26 tahun baru-baru ini, berkata Zii Jia mahu melakukan kejutan pada saingan yang berlangsung pada 27 Julai hingga 5 Ogos ini.
Harapan pastinya menyala buat pemain dari Kedah itu untuk menyinar di Paris selepas beliau merangkul dua gelaran iaitu Terbuka Thailand 2024 pada Mei diikuti Terbuka Australia 2024 bulan lepas.
Semangat juara Kejohanan Badminton Asia 2022 itu sudah semestinya membara lebih-lebih lagi selepas mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Zii Jia mengetuai Kumpulan G bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan juga pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian.
Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia belum pernah menentang Nettansinghe dan beliau juga tidak boleh memandang ringan kemampuan Abian yang pernah mengheretnya sehingga ke rubber set sebelum menang 21-11, 21-23, 24-22 pada pusingan pertama Terbuka Hylo 2021 di Jerman.
Sekiranya berjaya mengungguli peringkat kumpulan, ujian sebenar Zii Jia akan bermula di peringkat penyingkiran apabila berkemungkinan membuat perhitungan awal dengan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting (kesembilan dunia) dalam pusingan 16 terbaik.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu kemudian dijangka berdepan rakan karibnya yang juga pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen dari Denmark diikuti pilihan utama dari China, Shi Yu Qi di separuh akhir dan juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark menanti di pentas final.
Di sebalik prestasi memberangsangkan menjelang Paris 2024, Zii Jia perlu meningkatkan lagi tahap permainannya serta lebih konsisten sekiranya mahu mengatasi pencabar terdekat termasuk Yu Qi dan Axelsen.
Beliau juga perlu kekal fokus dengan mengelak melakukan kesilapan mudah yang mampu memerangkapnya sekali gus menyekat peluangnya untuk mara lebih jauh di Sukan Olimpik.
Rekod pertemuan terakhirnya dengan Yu Qi di separuh akhir Piala Thomas 2024 menyaksikan Zii Jia menyaingi lawan sebelum tunduk 19-21 pada set pembukaan, sebelum persembahannya merudum dan tumbang 5-21 yang membuka jalan buat China untuk mara ke final dengan menundukkan Malaysia 3-1.
Zii Jia pula hanya menang tiga daripada tujuh perlawanan menentang Axelsen dengan kali terakhir kedua-dua pemain tersebut bertembung pada final Masters Malaysia 2024 Mei lepas yang memihak wira Denmark itu, 21-6, 20-22, 21-13.
Selain pengalaman di atas gelanggang, Zii Jia memiliki ramuan tersendiri dalam usahanya untuk mengharumkan nama negara di Paris 2024.
Bukan sahaja mendapat sentuhan Wong Tat Meng yang bertanggungjawab melahirkan pemain perseorangan wanita nombor satu dari Korea Selatan An Se Young, malah Zii Jia juga memilih menjalani latihan fasa akhir di Singapura bersama dua juara dunia iaitu Loh Kean Yew (2021), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (2023) serta Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong.
sumber:- SH
Dengan segala usaha serta strategi direncanakan Zii Jia dan pasukannya selama ini, adakah ini masa yang tepat buatnya menutup mulut si pengkritik dengan membawa pulang emas untuk negara di Sukan Olimpik 2024? – Bernama