Jaringan Sabah FC pada awal babak kedua saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi tidak mematahkan semangat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk terus menguasai permainan.
Pengendalinya, Hector Pablo Bidoglio, berkata walaupun Sabah merapatkan kedudukan 1-2 pada minit ke-51, anak buahnya tetap bangkit melawan sehingga akhirnya dapat melebarkan jaringan pada minit kecederaan.
“JDT menguasai permainan, jadi apabila kita dibolosi satu gol, pemain bangkit semula dan hasilnya kita mendapat sepakan penalti untuk menyudahkan perlawanan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
JDT mendahului jaringan melalui Romel Morales pada minit ke-20 sebelum dia menambah satu lagi gol pada minit ke-43 untuk Harimau Selatan mendahului 2-0 pada separuh masa.
Sabah kemudian merapatkan jaringan kepada 1-2 melalui sepakan penalti Gabriel Peres pada minit ke-51 sebelum penyerang JDT, Bergson Da Silva memastikan kemenangan dengan gol ketiga, juga melalui sepakan penalti pada minit kecederaan.
Bidoglio mengakui JDT tidak berdepan jalan yang mudah ketika menentang Sabah, namun persembahan baik anak buahnya membolehkan pasukan melakar keputusan yang positif.
sumber:- BH
“Sebelum ini kita tahu permainan menentang Sabah pasti sukar, tapi pemain kita menunjukkan persembahan yang baik untuk mengatasi pasukan lawan,” katanya.