Skuad bawah-19 (B-19) tahun negara meraih tonik terbaik menjelang Kejuaraan ASEAN 2024 selepas menewaskan pasukan B-19 Kemboja 4-2 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, anak buah Juan Torres Garrido bermula garang apabila berjaya merobek gawang lawan menerusi dua gol yang dijaringkan Danish Hakimi Salahudin dan Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi masing-masing pada minit ke-13 dan 25.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila skuad Kemboja di bawah kendalian Phea Sopheaktra menyamakan kedudukan menerusi Phoeuk Thatthai dan UK Devin pada minit ke-26 dan ke-30 sekali gus kedudukan 2-2 kekal untuk separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia tidak mengambil masa yang lama untuk memimpin perlawanan apabila Mohamad Amir Farhan Mohd Fuzi merobek gawang Kemboja pada minit ke-50.
Tersentak dengan gol itu, Kemboja cuba memperkemaskan corak permainan, namun beberapa serangan yang dilancarkan ke arah kubu Malaysia berjaya dipatahkan benteng pertahanan negara.
Keasyikan Kemboja mencari gol penyamaan membawa padah apabila pemain gantian, Izzat Muhammad Syahir Mohd Zulishan berjaya mencatat nama sebagai penjaring keempat pada minit ke-80 menerusi sepakan kencang luar kotak penalti untuk Malaysia meraih kemenangan 4-2.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Garrido berkata dia sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya itu.
“Saya rasa perlawanan ini lebih baik dari yang pertama. Semua pemain dapat menghayati apa yang pasukan perlukan. Kita gembira kerana menampilkan lebih kekuatan dari perlawanan sebelum ini. Mereka lebih memahami apa yang perlu dilakukan semasa permainan dan saya fikir kita bertambah baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Terdahulu dalam aksi persahabatan yang diadakan di Stadium UiTM pada Jumaat lalu, Malaysia sekadar seri 2-2.
Dalam pada itu, Garrido memaklumkan hanya 23 pemain sahaja akan dibawa ke Kejuaraan ASEAN B-19 dengan senarai itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Pada kejohanan itu, Malaysia diundi dalam kumpulan C bersama juara lima kali Thailand, Singapura dan Brunei.
sumber:- BH
Sebagai rekod, Malaysia merupakan juara bertahan pada edisi lepas setelah menundukkan Laos 2-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga, Indonesia dua tahun lalu. – BERNAMA