Selepas kecoh isu tunggakan gaji, skuad Kuala Lumpur (KL) City akan berdepan tugas getir apabila melayan kunjungan Selangor bagi aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.
Kenyataan Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar bahawa pemain KL City akan dibayar dua bulan gaji dalam masa terdekat mungkin boleh dianggap sebagai pemangkin semangat buat skuad City Boys.
Bagaimanapun, aksi 90 minit berdepan Selangor akan menjadi saksi sama ada isu tunggakan gaji memberi kesan kepada prestasi skuad kendalian Miroslav Kuljanac atau sebaliknya.
Berdasarkan persembahan sebelum ini, pemain KL City tetap memberikan aksi terbaik termasuk ketika menewaskan Negeri Sembilan 3-0 pada 21 Jun lalu meskipun skuad itu didakwa berdepan masalah gaji sejak Disember lalu.
Seandainya isu tunggakan gaji itu mengganggu fokus pemain KL City, ia mungkin akan menjadi tugas mudah buat Selangor untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam Liga Super.
Selangor memerlukan kemenangan untuk terus mengejar pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) apatah lagi skuad Gergasi Merah berada dalam ‘mood’ terbaik selepas kejayaan mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA, 6 Julai lalu.
Skuad kendalian Nidzam Jamil hanya tercicir mata ketika aksi Piala Sumbangsih selepas JDT diberikan kemenangan ‘walkover’ 3-0 susulan ketidakhadiran Selangor dan selepas itu Gergasi Merah merekodkan kemenangan bersih di gelanggang sendiri.
Beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur yang turut terletak di Lembah Klang, Selangor juga ibarat beraksi di tempat sendiri tanpa perlu menempuh perjalanan jauh dan bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka.
Alvin Fortes dilihat sebagai antara tonggak yang menjadi harapan besar buat Selangor dan pemain sayap berusia 30 tahun itu harus diberi perhatian barisan pertahanan KL City.
Malah, Nidzam sendiri menyifatkan Fortes sebagai pemain penting buat Selangor musim ini dengan bekas Ratchaburi FC itu memberi impak besar terhadap bahagian serangan Gergasi Merah.
“Saya akan sentiasa mendukung dia. Alvin sendiri sebagai pemain penyerang pastinya mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan,” kata Nidzam.
sumber:- BH
Berdasarkan rekod pertemuan, Selangor tidak tewas kepada KL City dalam lima pertembungan terakhir termasuk menewaskan City Boys 2-0 dan 3-1 dalam dua aksi Liga Super musim lalu.