Negeri Sembilan FC (NSFC) akhirnya menikmati kemenangan selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.
Dua gol itu, masing-masing dijaringkan pada setiap babak oleh pemain tengah, R Barathkumar pada minit ke-24 dan Takumi Sasaki pada masa kecederaan di babak kedua.
Kejayaan itu juga adalah kemenangan pertama buat skuad kendalian Azzmi Ab Aziz selepas tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini manakala kekalahan kedua berturut-turut dialami skuad Tok Gajah selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul ta’zim (JDT) pada 22 Jun lalu.
Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan bermula cemerlang sebaik perlawanan bermula apabila memiliki peluang menjaringkan gol daripada rembatan penyerang import, Junco Martinez tetapi bola tepat ke arah penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan Hashimuddin seawal minit keempat.
Tuan rumah turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi bola sepakan lencong pertahanan import, Aleksandar Cvetkovic terkena tiang di sebelah kanan lawan.
Bagaimanapun, pelawat berjaya menjaringkan gol pendahuluan Barathkumar selepas menewaskan Zarif Irfan pada minit ke-24.
Bersambung babak kedua, tuan rumah yang memerlukan jaringan penyamaan menggandakan asakan ke kubu lawan yang dilihat kental bertahan.
sumber:- BH
Ketika tuan rumah berusaha untuk mencari gol penyamaan pada masa kecederaan, Negeri Sembilan dihadiahkan penalti dan Sasaki berjaya menyempurnakannya untuk memastikan skuad itu membawa pulang tiga mata berharga.