Penyerang Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut akui begitu kecewa kerana bakal terlepas peluang untuk membantu pasukannya beraksi dalam saingan separuh akhir Piala FA musim ini.
Jelas pemain kelahiran Croatia itu, kegagalan membantu pasukannya mara ke pentas final trofi itu pada musim lalu sudah pasti tidak dapat ditebusnya pada musim ini kerana dia masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Bagaimanapun pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Wan Mamut’ itu dalam kalangan peminat setia skuad Penyu mengharapkan rakan sepasukannya dapat merealisasikan impian untuk mara ke pentas final sebagaimana musim 2022.
Terdahulu penyerang tinggi lampai yang meledak 22 gol sepanjang 32 penampilannya bersama TFC pada musim lalu terpaksa berehat panjang akibat kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim.
“Berdasarkan perkembangan terkini, kemungkinan besar saya bakal terlepas aksi separuh akhir pertama dan pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super.
“Maknanya kurang sebulan sahaja lagi saya perlu berehat sebelum saya benar-benar pulih, tapi sebenar saya terlalu rindu untuk beraksi bersama pasukan, saya harap dapat beraksi pada separuh akhir kedua nanti,” kata Mamut ketika ditemui.
sumber:- BH
TFC yang mara ke separuh akhir selepas membenam cabaran Sabah FC dengan agregat 7-0 bakal berdepan Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama pada 19 Julai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebelum bertandang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 3 Ogos untuk aksi timbal balik