sukan

Bidoglio belum putuskan nasib Forestieri

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menuntut barisan pemain yang bakal diturunkan berdepan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, esok dapat mengekalkan corak permainan berpasukan.

Bukan menidakkan skil individu yang ada dalam kalangan pemain skuad Harimau Selatan, sebaliknya pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan corak permainan berpasukan akan membentuk satu unit yang lebih ampuh bagi menguasai permainan.

Sambil menegaskan pertembungan menentang skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang kini berada di tangga keempat liga pasti tampak sukar buat JDT tapi persiapan rapi sudah dibuat untuk menghadapi cabaran sepanjang 90 minit permainan.

“Apa yang penting dalam bola sepak adalah bermain sebagai satu pasukan, pamerkan persembahan yang dinamik untuk bergelar pemenang dalam aksi yang kami hadapi nanti.

“Kami perlu kekal bermain dengan momentum dan dinamik seperti apa yang kami lakukan ketika bermain di laman sendiri, malah kami juga harus memberi fokus terhadp diri sendiri dan tidak terlalu memikirkan pasukan lawan.

“Tidak dinafikan Sabah ialah pasukan yang hebat tapi kami perlu tenang dan tidak melakukan kesilapan mudah apabila beraksi nanti kerana tiga mata dan mengintai kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan liga amat penting,” katanya.

Bidoglio juga tidak menolak aksi beraksi di tempat lawan bakal beri ruang bagi pemain bergerak dan mengatur serangan tatkala pasukan lawan sudah tentu enggan bermain secara bertahan kerana mereka juga mahu kemenangan.

Tambahnya lagi, apa yang perlu diperbaiki akan terus menjadi agenda utama pasukan sebelum menentang Sabah dan agak gembira selepas pemain juga bebas daripada kecederaan selain kelibat Fernando Forestieri yang kembali menjalani latihan.

sumber:- BH

“Sama ada Fernando akan tersenarai dalam barisan pemain menentang Sabah masih belum dapat diputuskan dan apa yang penting pemain harus membentuk corak permainan berintensiti tinggi dengan mengekalkan `set-piece’ yang lebih efektif,” kata Bidoglio.