sukan

Nunez bertumbuk dengan penyokong

Bintang Liverpool, Darwin Nunez serta beberapa pemain Uruguay yang lain terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong Colombia yang tercetus selepas kekalahan 0-1 mereka di separuh akhir Copa America.

Rakaman televisyen menunjukkan penyerang Uruguay, Nunez melepaskan tumbukan bertubi-tubi ke arah penyokong Colombia selepas melompat ke tempat duduk penonton di Stadium Bank of America Charlotte berikutan kekalahan Uruguay kepada Colombia.

Pemain tengah Uruguay, Jose Maria Gimenez berkata, pemain terbabit dalam pergaduhan kerana bimbangkan keselamatan ahli keluarga dan orang tersayang yang menonton perlawanan itu.

“Ini adalah satu bencana. Keluarga kami dalam bahaya. Kami terpaksa pergi ke tempat penonton untuk membawa keluar orang tersayang, dengan bayi yang baru lahir,” kata pemain Atletico Madrid itu.

“Tiada seorang pun pegawai polis…saya harap pihak yang menganjurkan ini lebih berhati-hati dengan ahli keluarga kami.

“Setiap perlawanan ia berlaku kerana ada orang yang tidak tahu bagaimana mengendalikan minuman keras,” katanya.

Kebanyakan penonton di stadium adalah penyokong Colombia tetapi tidak ada pemisahan antara mereka dan penyokong Uruguay.

sumber:- HM

Ketika pergaduhan berlaku, beberapa pemain Uruguay naik ke dalam kelompok penonton untuk melindungi ahli keluarga mereka dengan Nunez menjadi perhatian utama.