sukan

Aaron Chia-Soh Wooi Yik di kedudukan terbaik raih emas

Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikatakan berada di kedudukan terbaik untuk meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, perkara itu diukur berdasarkan prestasi dipamerkan gandingan terbabit selepas hampir sebulan menjalani latihan intensif di ABM.

“Persiapan yang cukup baik dan faktor penerimaan ditunjukkan mereka, menimbulkan perasaan yakin bahawa Malaysia akan membawa pulang pingat emas,” kata legenda badminton Indonesia itu.

Ujarnya, dua lagi wakil dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut berpeluang untuk membawa pulang pingat.

“Dari segi prestasi, semua pasangan ke Olimpik terutama beregu lelaki adalah setara dan menjelang temasya Paris 2024, setiap pemain akan berada di bawah tahap tekanan tinggi, bukan pemain kita sahaja, malah pemain dari negara lain juga.

“Merujuk kepada Aaron-Wooi Yik, selama saya melihat persiapan mereka… cukup bagus dan saya melihat apa yang Fred (Frederick Tan, Pakar Psikologi) lakukan meningkatkan kekuatan mental mereka dan itu adalah satu kelebihan,” kata Rexy.

Tambahnya, dengan berbaki kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum Paris 2024 bermula, beliau yakin situasi dihadapi pemain negara kebelakangan ini, mampu bertukar sebaliknya.

“Situasi (kekurangan) bagi Pearly-Thinaah mungkin dari segi Olimpik menjadi pengalaman pertama buat mereka, tetapi kita harus bantu mengatasinya.

“Kadang-kadang pemain yang baru kali pertama ke Olimpik akan banyak fikir dan hilang fokus, tetapi boleh berlaku sebaliknya sebagaimana dicapai pemain Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu yang memenangi pingat emas beregu wanita di Olimpik Tokyo,” ujar Rexy, yang menceritakan bagaimana Greysia-Apriyani membawa pulang pingat emas pertama dalam beregu wanita Indonesia.

sumber:- HM

Temasya Tokyo 2020 menjadi penampilan kedua Greysia dalam beregu wanita, namun yang pertama buat Apriyani dan mereka layak ke temasya sukan terbesar dunia itu ketika menduduki ranking kelapan dunia.