Bolasepak tanah air terus mendapat perhatian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) apabila sekali lagi ‘berbicara’ mengenai pemain dan senario sukan terbabit di negara ini.
Terbaharu, lensa Fifa memberi tumpuan pula kepada pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero yang sudah bergelar rakyat Malaysia sejak 2022.
Berdasarkan temubual Fifa terhadap pemain kelahiran Argentina itu memaklumkan bahawa dia sudah jatuh cinta terhadap negara ini sejak menetap selama lapan tahun.
“Saya sudah menetap dan bermain di Malaysia hampir lapan tahun, dan saya dan isteri mempunyai dua anak yang dilahirkan di sini.
“Kami gembira di sini dan sayangkan Malaysia dan rakyatnya. Jadi apabila peluang muncul untuk menjadi warga negara Malaysia dan mewakili pasukan kebangsaan, ia adalah impian yang menjadi kenyataan dan keputusan yang sangat mudah untuk dibuat,” kata pemain Sri Pahang itu.
Mengikut rekod, tonggak penting Sri Pahang itu melakukan debut untuk Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 9 Disember 2022.
Beliau tidak perlu menunggu lama untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila meraih gol pertamanya untuk skuad kebangsaan hanya 15 hari kemudian dalam perlawanan Kejuaraan AFF menentang Laos.
sumber:- HM
Selepas namanya tidak disenaraikan dalam beberapa aksi skuad Harimau Malaya namun khidmatnya ditagih Pengendali Pasukan Kebangsaan Kim Pan-gon apabila dipanggil menyertai kem latihan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berdepan Taiwan, Jun lalu.