Pengendali Skuad B-19 negara, Juan Torres Garrido mengakui bahawa dua kelab gergasi Liga Super membabitkan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) membantu dalam menyediakan pemain muda berkualiti untuk skuad kebangsaan.
Beliau berkata, dua kelab gergasi terbabit mempunyai potensi besar dalam pembangunan bola sepak negara yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Malah, katanya, kehadiran dua kelab itu juga menyumbang aura positif ke dalam arena bola sepak negara kualiti dimiliki mereka di peringkat akar umbi lagi.
“JDT dan Selangor sangat penting dalam bola sepak kerana sebelum ini, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang banyak menyumbang kebanyakan bakat muda. Tetapi, sekarang JDT mempunyai akademi yang menjadi pendekatan terbaik buat pemilihan skuad negara.
“Saya berharap supaya akan lebih banyak kelab melakukan perkara seperti ini. Buat masa ini, JDT dan Selangor sangat dominan, selain AMD yang juga satu platform sangat baik dalam mengembangkan bakat anak muda,” katanya.
Mengikut rekod, seramai 28 pemain secara keseluruhan dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 menjelang Kejuaraan Asean 2024 yang akan bermula pada 19 Julai depan.
Berdasarkan jumlah berkenaan, seramai 12 pemain adalah daripada produk JDT manakala lapan pemain pula terdiri daripada Selangor FC.
Malaysia dijangka tidak berdepan masalah meloloskan diri ke pusingan kalah mati Kejohanan B-19 Asean 2024.
Ia selepas skuad muda negara itu diundi dalam Kumpulan C bersama juara lima kali Thailand, Singapura dan Brunei.
Pada edisi lalu, Thailand menamatkan kempen saingan di tempat keempat sementara Singapura dan Brunei masing-masing terkandas di peringkat kumpulan.
sumber:- HM
Dalam pada itu, naib juara edisi lalu Laos diundi dalam kumpulan maut apabila berdepan cabaran juara 2007 Vietnam, juara dua kali Myanmar dan juara lima kali Australia.