sukan

Bos akui terkejut

Pengurusan tertinggi pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC akan mengadakan pertemuan dengan pihak tertentu dan pemain dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan gaji skuad City Boys.

Pengarah Kuala Lumpur United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar menjelaskan, barisan kepimpinan tertinggi tidak dimaklumkan bahawa tunggakan gaji yang melanda pemain skuad itu mencecah tujuh bulan.

Syed Yazid memaklumkan, menerusi pembentangan dalam mesyuarat Exco Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) juga tidak dinyatakan secara terperinci mengenai tunggakan gaji dengan seolah-olah skuad The City Boy tidak berhutang dengan pemain.

Justeru, beliau agak terkejut apabila terdapat laporan bahawa tonggak KL City FC, Paulo Josue mendakwa tidak mendapat gaji sejak Disember tahun lalu.

Katanya, isu tunggakan gaji akan diselesaikan segera kerana dibimbangi akan menjejaskan prestasi pasukan dalam mengharungi saingan Liga Super musim ini.

“Saya akan berjumpa dengan barisan pemain untuk mengetahui lebih jelas lagi tunggakan gaji yang melanda pasukan.

“Mungkin setiap pemain tunggakan gaji berlainan dan agak mengejutkan apabila tonggak KL City Paulo Josue tidak dibayar hingga tujuh bulan.

“Stanley tak pernah nyatakan tunggakan gaji sebanyak ini (tujuh bulan) malah situasi sama juga ketika mesyuarat Exco KLFA” katanya.

Kuala Lumpur United Sdn Bhd adalah syarikat yang menguruskan pasukan KL City FC dengan pengarahnya kini hanya Syed Yazid berbanding tiga sebelum ini.

sumber:- BH

Mengikut rekod, sebelum ini KL City FC pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji namun dikatakan sudah diselesaikan oleh pengurusan pasukan terbabit.