sukan

Ambil tanggungjawab atau keluar daripada bola sepak

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mendedahkan sebenarnya banyak pasukan gagal menyelesaikan bayaran gaji pada musim ini.

Safee yang juga Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) memaklumkan, pihaknya sering ‘disindir’ seolah-olah mahu menjatuhkan bola sepak tanah air hanya kerana menyuarakan mengenai isu tunggakan gaji membabitkan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M).

“Tujuh bulan gaji tak dibayar, akhirnya Paulo Josue (pemain Kuala Lumpur City FC) bersuara.

“Bila kami bersuara dikatakan mahu memburukkan dan menjatuhkan imej bola sepak sendiri. Tapi bila berlaku kes seperti ini, siapa harus dipersalahkan?.

“Kami perhatikan dan lihat saja apa yang badan induk lakukan. Sila pantau dan buat sesuatu yang lebih proaktif dalam menangani bab ini,” tulis Safee di laman Instagram (IG) miliknya.

Terdahulu, menerusi laporan eksklusif Arena Metro mendedahkan Josue beraksi secara ‘percuma’ selama tujuh bulan bersama KL City FC tanpa menerima gaji bulanan.

Pemain berasal dari Brazil itu berkata, dia boleh dikatakan sudah lupa bila kali terakhir menerima bayaran daripada pasukan terbabit, sekali gus kini meneruskan kehidupan dengan hanya berbekalkan wang simpanannya.

Sebelum ini, KL City FC pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji, namun dikatakan sudah diselesaikan oleh pengurusan pasukan terbabit.

Baru-baru ini, timbul pula di media sosial yang mengatakan KL City FC berhadapan tunggakan gaji sehingga tempoh lima bulan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada masalah terbabit sudah diselesaikan atau sebaliknya.

Selain itu, Safee mengakui walaupun tidak lagi beraksi dalam kancah Liga Super, dia sudah masak cabaran sebagai pemain profesional.

sumber:- HM

“Saya sudah tidak bermain di Liga Super, tapi passion (minat) saya dengan sukan ini tidak akan pernah pudar.”Ambil tanggungjawab ini atau keluar daripada sukan bola sepak. Anda mempunyai pilihan dalam hidup ini,” tulisnya.