sukan

Akhyar akui terharu

Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Abdul Rashid meluahkan rasa gembira selepas penantiannya dalam enam perlawanan terdahulu untuk menjaringkan gol akhirnya membuahkan hasil Sabtu lalu.

Jelas pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, lebih manis jaringan berkenaan tepat pada masanya dalam misi membantu pasukan baharunya itu melangkah ke separuh akhir saingan Piala FA.

Sabtu lalu, pemain kebangsaan itu menjaringkan gol kedua pasukannya pada babak pertama perlawanan ketika menentang Sabah FC dalam aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Jaringan itu terhasil selepas pemain berketinggian 1.70 meter itu mendapat umpanan menarik daripada rakan sepasukannya, Marin Pilj yang turut mencetak gol ketiga pasukannya sebelum menang 3-0.

“Syukur Alhamdulillah dan sangat terharu selepas berjaya menjaringkan gol pertama sekali gus membantu pasukan meraih kemenangan pada malam itu.

“Jaringan itu juga dapat memberikan motivasi serta sesuatu kepada peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pasukan setiap kali kami beraksi.

“Apa yang diharapkan aksi seterusnya nanti saya akan dapat mengekalkan momentum jaringan ini dalam misi membantu pasukan meraih kemenangan demi kemenangan,” ujar pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Dalam pada itu pemain berusia 25 tahun itu turut mengharapkan peminat setia skuad Penyu terus memberikan sokongan padu kepada pasukannya selain membanjiri stadium setiap kali TFC beraksi.

“Sokongan padu daripada peminat setia adalah motivasi kepada kami, harap penyokong dapat memberikan kata-kata semangat dan positif selain dapat hadir beramai-ramai ke stadium,” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama Piala FA berdepan Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 28 Jun lalu, kehadiran lebih 15,000 peminat setia skuad itu berjaya membantu TFC merakam kemenangan terbesar setakat ini dengan 4-0.

sumber:- BH

Kejayaan mara ke separuh akhir saingan Piala FA itu sekali gus mengulangi pencapaian pada musim lalu sebelum tewas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedudukan hingga tamat masa tambahan terikat tanpa jaringan.