sukan

Komen Nafuzi selepas Kedah mara ke Separuh Akhir

Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui skuadnya terpaksa menempuh perlawanan yang sukar menentang Penang FC sebelum layak ke saingan separuh akhir Piala FA secara agregat 1-0.

Keputusan seri tanpa jaringan pada aksi kedua suku akhir di laman sendiri semalam menyaksikan Kedah perlu meningkatkan lagi keupayaan apabila menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam saingan Liga Super pada 12 Julai sebelum menyambung aksi separuh akhir Piala FA menentang skuad Harimau Selatan Johor Darul Ta’zim (JDT), 20 Julai ini.

“Kami menempuh cabaran yang sukar untuk mara ke separuh akhir Piala FA musim ini, namun secara keseluruhan saya tetap bangga dengan pencapaian kami yang saya anggap tetap cemerlang kerana dalam tiga perlawanan menentang Penang FC, kami menang dua perlawanan dan seri sekali.

“Penang FC ini bukanlah satu pasukan yang mudah dan agak sukar untuk mendapat peluang menjaringkan gol atau mendapat jaringan besar, namun mungkin gol dapat dihasilkan jika kami dapat memanfaatkan lebih banyak peluang yang ada.

“Berbekalkan satu jaringan sahaja memang satu situasi yang memerlukan kami menyerang untuk mendapatkan gol dan bertahan dengan baik secara seimbang.

“Keputusan ini memperlihatkan kami bernasib baik kerana tiga peluang yang Penang FC miliki di babak pertama tidak berjaya membolosi gawang kami,” kata Nafuzi.

Menurut Nafuz, sebelum aksi separuh akhir Piala FA yang akan kembali bersambung pada 20 Julai ini, beliau mahu skuadnya kembali fokus untuk meneruskan momentum kemenangan yang Kedah perolehi dalam saingan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim pada 12 Julai terlebih dahulu.

“Fokus dan sasaran kami seterusnya adalah mahu kekalkan rentak kemenangan kami dalam Liga Super ketika bertemu KDN FC di laman sendiri minggu depan.

sumber:- BH

“Ada dua atau tiga pemain yang agak keletihan dan mengalami sedikit kecederaan dan saya akan melakukan sedikit perubahan apabila turun semula menentang KDN FC pada saingan Liga Super selepas ini,” katanya.