Kanada mara ke separuh akhir Copa America dengan menewaskan Venezuela 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam tempoh permainan sebenar.
Jacob Shaffelburg meletakkan Kanada di depan pada minit ke-13 tetapi Salomon Rondon menyamakan kedudukan pada minit ke-64 sebelum Kanada mengungguli penentuan penalti untuk bertemu Argentina di separuh akhir.
Kanada kendalian Jesse Marsch, yang mengambil alih pasukan pada pertengahan Mei lalu, bermain di Copa America buat julung kalinya dan menampilkan permainan menarik untuk mara ke kelompok empat terakhir.
Kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan sepakan penalti sebanyak dua kali dalam penentuan itu, dengan kedudukan terikat 3-3 selepas masing-masing melakukan lima sepakan.
Penjaga gol Kanada, Max Crepeau, yang melakukan kesilapan berada terlalu jauh dari gawang ketika Rondon menjaringkan gol penyamaan dari tengah padang, menebus kesilapannya dengan menyelamatkan sepakan penalti Wilke Angel.
Ismael Kone kemudian menyempurnakan sepakannya untuk memberikan kemenangan buat Kanada di hadapan lebih 51,000 penyokong, yang majoritinya penyokong Venezuela.
sumber:- BH
Kanda tewas 2-0 di tangan juara bertahan, Argentina pada aksi pembukaan peringkat kumpulan. – AFP