Pemain pertahanan Turkiye, Merih Demiral akan digantung dua perlawanan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berikutan isyarat yang dilakukan ketika menentang Austria pada pusingan 16 terakhir, Rabu lalu dan akan terlepas aksi suku akhir Euro 2024 berdepan Belanda, Ahad ini, lapor media Jerman.
Bek tengah berusia 26 tahun itu menjaringkan dua gol ketika menewaskan Austria 2-1 untuk membawa Turkiye ke suku akhir buat kali pertama sejak tahun 2008 dan meraikan dengan membuat isyarat ‘serigala’ menggunakan jarinya.
Isyarat itu dikaitkan dengan ‘Serigala Kelabu’, cawangan belia ultra-nasionalis Parti Gerakan Nasionalis Turkiye (MHP) – sekutu kepada parti pemerintah Presiden Tayyip Erdogan, Parti AK.
“Simbol pelampau sayap kanan Turkiye tidak mempunyai tempat di stadium kami,” kata Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser dalam catatan di laman X dan UEFA kemudiannya membuka kes disiplin terhadap Demiral.
Akhbar Jerman Bild pada Khamis melaporkan menerima maklumat bahawa pemain itu akan digantung dua perlawanan kerana isyarat itu, namun tidak menyatakan sumber dakwaan berkenaan.
sumber:- BH
Turkiye akan menentang Belanda pada suku akhir di Olympiastadion Berlin, perlawanan yang dijangka dihadiri oleh presiden Turkiye, Erdogan. – REUTERS