Berdasarkan kepada prestasi semasa dan komitmen tinggi dipamerkan, pertahanan Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hasni wajar diberikan peluang membarisi skuad kebangsaan.
Pandangan itu disuarakan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin selepas aksi cemerlang disajikan pemain itu bersama skuad Penyu.
Jelasnya, berdasarkan potensi besar dipamerkannya, pertahanan tengah berusia 26 tahun itu perlu diberikan peluang oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
“Shahrul Nizam antara pemain berkualiti dalam skuad TFC sejak penampilan pertamanya pada musim 2021.”Kekentalannya mengemudi benteng pertahanan bukan sahaja diakui barisan kejurulatihan, malah kami sebagai peminat turut melihat perkara itu.
“Buktinya pada musim lalu dan awal musim ini, dia mengekang asakan pemain lawan biarpun benteng pertahanan TFC tanpa pemain import akibat kecederaan dan dia bukan saja beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), malah di peringkat Asia dalam saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada musim lalu,” katanya.
Benteng TFC diakui kental walaupun tanpa pemain import dan dikemudi Shahrul Nizam bersama Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Muhammad Alif Zakaria.
sumber:- HM
Terdahulu pemain kelahiran Kelantan itu membuat penampilan ke-101 bersama TFC ketika aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah FC, Jumaat lalu, selepas mula menyarung jersi TFC sejak 2021.