Kumpulan pencari bakat Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata ‘buat kerja’ apabila merekrut seorang lagi pemain kacukan berbakat besar menyertai kelab itu.
Terbaharu, JDT berjaya membawa ‘pulang’ seorang pemain muda berdarah Itali-Malaysia, Danish Presenti untuk beraksi dalam saingan Piala Presiden pasukan itu.
Kejayaan skuad Harimau Selatan menghidu bakat Danish sememangnya dipuji dalam usaha memburu lebih ramai pemain berpotensi di luar negara seperti mana dilakukan skuad kebangsaan Indonesia.
Kehadiran Danish pastinya membuka pintu buatnya untuk mewakili skuad Harimau Malaya suatu hari nanti sekali gus memberi opsyen tambahan buat Kim Pan-gon khususnya di jentera tengah negara.
Berdasarkan tinjauan Arena Metro di laman sosial, ramai peminat memuji langkah pantas dan bijak JDT itu dalam usaha memikat pemain kacukan untuk beraksi bersama kelab itu.
“Scouting (pencari bakat) JDT memang padu. Ini bintang negara dalam pembikinan,” kata Al Amin di laman sosial.
Sebelum ini, peminat mahu agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencontohi usaha Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) yang menghimpunkan ramai pemain berdarah warisan.
Hasilnya negara itu berjaya mara ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 selain berjaya layak hingga ke peringkat 16 terbaik di saingan Piala Asia di Qatar Januari lalu.
sumber:- HM
Selain itu, skuad bawah 23 (B-23) negara jiran itu membuat kejutan apabila mara hingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 di Qatar April lalu, dan hampir layak ke Sukan Olimpik Paris Julai ini sebelum ditundukkan wakil Afrika, Guinea dalam aksi playoff terakhir ke temasya itu.