Kedah Darul Aman (KDA) FC mengharapkan Stadium Darul Aman akan dilimpahi kehadiran 25,000 penyokong dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 malam esok
Pemilik majoriti saham KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata kelab itu menantikan kehadiran penyokong setia Sang Kenari bagi membantu KDA FC, yang akan menerima tentangan sengit daripada jiran setempat, Penang FC.
Menurutnya, misi kehadiran 25,000 penyokong di Darul Aman adalah satu impian yang diharapkan akan menjadi kenyataan kerana sudah lama suasana riuh-rendah tidak dapat dirasakan.
“Kehadiran seramai 15,000 penyokong adalah indah dan mempersonakan. ‘Amazing’.”Kehadiran seramai 20,000 penyokong adalah luar biasa dan kejutan minda. ‘Extra ordinary’.”Kehadiran seramai 25,000 adalah diri anda sebenarnya. ‘Really you’,” katanya dipetik melalui laman rasmi KDA FC.
Terdahulu, kelab itu menyasarkan purata 15,000 penyokong setiap perlawanan sepanjang Julai ini yang mampu menjana sekitar RM1.5 hingga 2 juta.
Penjanaan kewangan itu tidak termasuk aktiviti perniagaan kelab melalui jualan merchandise di gerai Sang Kenari Store, jualan GTR Burger, Makanan Snek dari Express Point, jualan minuman KDAlicious, Mini Karnival Sang Kenari dan Save Our Sang Kenari Run.
“Pasukan Sang Kenari telah buktikan, tiada yang mustahil jika semua berganding bahu, memberi sokongan padu kepada pihak pengurusan dan pemain, kita mampu menongkah semua cabaran.
“Bulan Julai adalah masanya penyokong Sang Kenari untuk membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi bukan hanya untuk memberi sokongan moral tetapi membeli tiket perlawanan untuk menyuntik aliran tunai kelab,” ujarnya.
sumber:- stadium astro
Dalam dua pertemuan Derbi Utara berturut-turut di Stadium Bandaraya pada minggu lalu, KDA FC mengejutkan Penang FC 1-0 dalam saingan Liga Super dan menewaskan pasukan sama juga dengan keputusan 1-0 dalam suku akhir pertama Piala FA.