Cristiano Ronaldo berisiko dikenakan hukuman penggantungan perlawanan di Euro 2024 selepas dituduh melakukan ‘pemasaran serangan hendap’ berikutan pendedahan data kadar degupan jantungnya.
Legenda Portugal berusia 39 tahun itu mengharungi kempen yang agak hambar setakat ini apabila gagal menjaringkan gol selepas empat perlawanan.
Dia gagal menyempurnakan sepakan penalti dan menangis semasa aksi pusingan 16 terakhir ketika skuad bimbingan Roberto Martinez berjaya menang tipis menentang Slovenia menerusi sepakan penalti selepas 120 minit perlawanan tanpa jaringan.
Namun situasi mungkin menjadi lebih buruk bagi legenda Real Madrid dan Manchester United itu.Ia berkaitan dengan kerjasama Ronaldo dengan syarikat kecergasan WHOOP yang mengeluarkan data kadar degupan jantungnya semasa aksi menentang Slovenia, Selasa lalu.
Bekas ketua penajaan global di Visa dan Coca Cola, Ricardo Fort mendakwa, ia adalah contoh pemasaran serangan hendap.
Ini berlaku apabila sebuah syarikat cuba mengaitkan produk atau perkhidmatan mereka dengan acara yang sudah mempunyai penaja rasmi.
Sebelum ini, bekas penyerang Arsenal, Nicklas Bendtner melanggar peraturan berkenaan apabila meraikan gol untuk Denmark di Euro 2012 dengan menunjukkan seluar dalam jenama Paddy Power miliknya.
Bendtner dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan dan denda £80,000 (RM480,000).
sumber:- HM
Fort percaya Ronaldo patut dikenakan hukuman sama yang akan menyebabkannya terlepas aksi suku akhir antara Portugal menentang Perancis, Sabtu ini.