Pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi mengakui ‘meremang’ selepas mengetahui dia dipilih beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi slot ‘wild card.’
Jelas pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter itu, dia masih hilang kata-kata meskipun sudah bersedia untuk menerima apa sahaja pengumuman daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membabitkan slot ke temasya di Paris itu.
“Saya bersyukur dan hilang kata-kata, masih meremang (dengar pengumuman ke Paris). Saya tak jangka dapat tiket ke Sukan Olimpik 2024 dan sebenarnya, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima apa sahaja keputusan daripada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Jadi apabila berita itu satu perkara yang positif, ini peluang terbaik untuk saya terus berkembang dan terus meningkatkan prestasi diri sendiri.
“Ini satu peluang yang amat baik dalam karier saya,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), di sini hari ini.
Terdahulu, KOM memutuskan untuk memberikan slot ‘wild card’ kepada Azeem untuk beraksi di Paris 2024.
Perkara itu diumumkan Shahidan ketika sidang media khas di Parlimen hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Azeem mengetepikan pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang menjadi seorang lagi calon untuk diberikan wild card ke Paris.
Sementara itu, Shereen mengakui dia akur dengan keputusan KOM yang memilih Azeem untuk mengisi slot ‘wild card’ ke Sukan Olimpik 2024 dan dia menyifatkan Azeem layak mendapat slot itu.
Namun Shereen yang baru memenangi pingat emas 400m wanita Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 tekad untuk terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.
“Sudah tentu sebagai atlet (mahu ke Sukan Olimpik) dan kita sudah bekerja keras. Tetapi kalau tidak ada peluang itu, saya akan terus bekerja keras dan bangkit dengan lebih kuat tahun depan.
sumber:- BH
“Siapa yang mendapat slot itu, dia layak untuk mendapatnya jadi saya tidak akan berasa kecewa,” katanya.