Kedah Darul Aman (KDA) FC mengharapkan bantuan penyokong untuk berdepan Penang FC di Stadium Darul Aman, Jumaat ini dalam usaha Sang Kenari untuk melangkah ke separuh akhir Piala FA.
Skuad kendalian Nafuzi Zain akan melayan kunjungan skuad Harimau Kumbang aksi suku akhir kedua selepas meraih bekalan tipis hasil kemenangan 1-0 dalam perlawanan pertama, Jumaat lalu.
KDA FC dalam kenyataan media berharap penyokong atau pemain ke-12 mereka dapat membanjiri Stadium Darul Aman dan mencetuskan semangat tambahan buat pemain Sang Kenari.
“Inilah masanya dimana kami mahu mulakan dengan misi sasaran 25,000 penyokong Sang Kenari untuk aksi menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, Jumaat ini bagi merebut tempat ke saingan separuh akhir Piala FA yang kami sasarkan pada musim ini.
“Pihak pengurusan juga menyasarkan purata sebanyak 15,000 kehadiran penyokong pada setiap perlawanan di laman sendiri yang dijangka akan berlangsung pada setiap minggu dalam bulan Julai ini dan ini tertakluk kepada keputusan perlawanan suku akhir kedua Piala FA ini,” katanya.
Selepas menentang Penang, KDA dijadual menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 12 Julai dan berdepan Kuching City FC, 26 Julai dalam saingan Liga Super.
“Mengikut jadual berkenaan, KDA FC dijangka akan turun pada setiap minggu di Stadium Darul Aman bulan Julai ini, jika Kedah layak ke peringkat separuh akhir, ia bakal diadakan pada 20 atau 21 Julai ini.
“Bulan Julai ini juga adalah masa membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi bukan hanya untuk memberi sokongan moral buat pasukan, tetapi juga pembelian tiket perlawanan untuk menyuntik aliran tunai kelab.
sumber:- BH
“Dengan sokongan dari semua pihak untuk hadir ke Stadium Darul Aman, Kedah dijangka mampu menjana sekitar RM1.5 juta hingga RM2 juta dan ini tidak termasuk aktiviti perniagaan kelab melalui jualan barangan cenderahati,” katanya.