Gol sendiri lewat perlawanan Jan Vertonghen membantu Perancis layak ke suku akhir Euro 2024 sebentar tadi apabila mereka mengatasi Belgium 1-0 dalam satu perlawanan tegang di Duesseldorf.
Perancis mendominasi pertembungan 16 terakhir itu tetapi penyudah tumpul mereka menyaksikan masa tambahan mungkin diperlukan hinggalah mereka akhirnya menemui gol diperlukan lima minit sebelum tamat.
Penyerang gantian Randal Kolo Muani mengutip hantaran N’Golo Kante dalam kotak penalti Belgium sebelum melakukan rembatan kencang yang ditampan masuk Vertonghen sekali gus memperdaya penjaga gol Koen Casteels.
Gol bertuah itu memacu naib juara Piala Dunia 2022 ke suku akhir di Hamburg awal pagi Sabtu ini ketika mereka kekal berpeluang untuk muncul juara Eropah buat kali ketiga.
Perancis masih belum menjaringkan gol daripada permainan terbuka dalam empat perlawanan pada kejohanan itu – kapten Kylian Mbappe meledak sekali menerusi sepakan penalti menentang Poland, manakala dua lagi gol mereka hadir daripada pemain pertahanan lawan.
Bagaimanapun mereka mempunyai benteng pertahanan yang kebal, sesudah hanya melepaskan satu gol menerusi sepakan penalti setakat ini.
Benteng pertahanan mereka menyerlah berdepan Romelu Lukaku dan rakan serangannya dan Belgium tersingkir dalam apa yang dilihat sebagai kejohanan mengecewakan buat mereka.
Kedua-dua pasukan mengintai peluang untuk membalas dendam, dalam kes Belgium bagi kekalahan 1-0 di tangan Perancis pada separuh akhir Piala Dunia 2018, keputusan yang masih menyakitkan selepas enam tahun berlalu.
Perancis pula mahu membuktikan sesuatu pada Kejuaraan Eropah selepas tersingkir pada pusingan 16 terakhir tiga tahun lalu menerusi penentuan penalti di tangan Switzerland, keputusan yang mengecewakan di antara dua final Piala Dunia berturut-turut.
Perancis dilihat tampil sebagai pilihan utama untuk memenangi kejohanan kali ini sebelum tiba di Jerman, tetapi persembahan mereka pada peringkat kumpulan jauh daripada tahap sebenar.
Patah hidung yang dialami Mbappe ketika aksi pertama menentang Austria tidak membantu dan prestasi tidak menentu Antoine Griezmann turut menjadi masalah.
Griezmann digugurkan daripada aksi terakhir kumpulan menentang Poland namun kembali di sini dalam satu daripada dua pertukaran, dengan Marcus Thuram turut kembali ketika pemain sayap Ousmane Dembele dan Bradley Barcola terpaksa memberi laluan.
Penjaga gol Perancis, Mike Maignan akhirnya melakukan tindakan penyelamat 20 minit sebelum masa sebenar tamat, untuk menafikan rembatan kencang Lukaku dan sekali lagi bertindak cemerlang untuk mengecewakan Kevin De Bruyne.
sumber:- BH
Jelas satu gol boleh memastikan keputusan perlawanan itu dan Perancis mendapat peluang mereka pada minit ke-85 apabila Kante mengumpan kepada Kolo Muani, dan rembatannya ditampan masuk Vertonghen untuk membolehkan Les Bleus mara. – AFP