Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata pasukannya boleh menewaskan Georgia 9-1 ketika mereka mara ke suku akhir Euro 2024 seterusnya akan berdepan tuan rumah, Jerman.
Skuad La Roja ketinggalan menerusi jaringan sendiri Robin Le Normand tetapi bangkit untuk mencipta kemenangan 4-1 di Cologne dan mencipta banyak peluang berdepan pasukan yang sudah melakukan kejutan dalam kejohanan kali ini.
Rodri, Fabian Ruiz, Nico Williams dan Dani Olmo meledak buat Sepanyol manakala pemain sayap berusia 16 tahun, Lamine Yamal terlepas dua peluang baik yang boleh menyaksikannya bergelar penjaring termuda kejohanan Eropah.
“Kami gembira kerana kami tahu apa yang kami lakukan untuk berada di sini, itu ditunjukkan selepas apa dilakui pasukan lain,” kata De la Fuente kepada televisyen Sepanyol.
“(Keputusan itu) sepatutnya boleh menjadi 8-1 atau 9-1. Kami menderita kerana serangan balas pantas ialah senjata utama mereka.
“Mereka tidak berjaya mendapat cubaan ke arah gol tetapi kami melakukannya, jadi kami sangat gembira.”
Juara tiga kali Eropah itu kini akan berdepan satu lagi pasukan dengan prestasi terbaik, Jerman pada suku akhir Jumaat ini.
sumber:- BH
“Pertama sekali kami perlu pulih dan selepas itu menjadi diri sendiri, terus gembira bermain bola sepak… dan berdepan Jerman, kami perlu memberikan yang terbaik, tiada cara lain,” tambah jurulatih itu. – AFP