Selangor FC mengesahkan sudah menghantar surat rayuan supaya dipertimbangkan semula hukuman dikenakan terhadap mereka oleh Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan surat rayuan itu hantar pada Sabtu lalu supaya MFL mempertimbangkan hukuman terhadap kelab berkenaan.
“Kami sudah mengemukakan rayuan pada Sabtu. Selepas MFL mengumumkan keputusan mereka, kita membuat semakan dan meminda perkara sesuai sebelum memfailkan semua rayuan,” katanya.
Namun, Johan tidak mahu berkongsi perincian surat rayuan terbabit, sekali gus meminta menunggu MFL untuk mempertimbangkan rayuan itu.
Terdahulu, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.
Selain denda RM100,000, MFL mengenakan tiga lagi hukuman iaitu bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL, pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 dan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menentang JDT tanpa penonton.
sumber:- HM
Bagaimanapun, MFL membuat pusingan ‘U’ apabila membatalkan pemotongan tiga mata dan perlawanan tanpa penonton itu, selain denda RM100,000 dikurangkan kepada RM60,000.