England begitu hampir untuk tersingkir daripada Euro 2024 apabila ketinggalan 1-0 di tangan Slovakia hingga ke masa kecederaan, tetapi jaringan Jude Bellingham mengheret permainan ke masa tambahan.
Slovakia mendahului menerusi jaringan minit ke-25 Ivan Schranz, dan England seakan buntu mencari gol penyamaan sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, England mula menemui rentak dan tampak berjaya menyamakan kedudukan menerusi Phil Foden, namun jaringan pemain Manchester City itu dibatalkan kerana ofsaid.
England hampir diperangkap jaringan jarak jauh David Strelec yang melihat penjaga gol, Jordan Pickford sudah berada di luar kawasan gol, namun percubaannya tersasar.
Ketika England begitu hampir untuk tersingkir, lontaran ke dalam Kyle Walker ditanduk Marc Guehi ke depan gawang, dan Bellingham melakukan jaringan akrobatik untuk menewaskan Martin Dubravka di gawang Slovakia.
Di awal masa tambahan, England akhirnya mendahului permainan menerusi kaptennya, Harry Kane, dan terus bertahan hingga wisel penamat.
sumber:- BH
England akan bertemu Switzerland pada aksi suku akhir di Merkur Spiel-Arena, Dusseldorf pada 7 Julai. – AGENSI