Pengendali Malaysian University FC, Ridzuan Abu Shah enggan mengangkat bendera putih walaupun pasukannya dibelasah 0-5 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Malah pengendali pasukan Liga A1 Semi-Pro itu akan membuat persiapan lebih rapi untuk berusaha bangkit apabila kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertemu pada aksi kedua di stadium sama, Jumaat ini.
“Tiada apa yang merugikan kami walaupun kami tewas agak besar dalam perlawanan itu dan ia juga memberi pengajaran bermakna buat pemain saya yang bergelar pelajar malah nasib baik tidak dibelasah teruk dan hanya bolos lima gol sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Ridzuan akui sedikit terkilan selepas gol tunggal pasukannya yang dijaringkan pemain sayapnya, Mohd Alief Najmi Mohd Radzi dibatalkan pengadil Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).
Pada perlawanan itu, Corbin membuka tirai pesta gol Harimau Selatan seawal minit ke-2 disusuli jaringan pada babak kedua oleh Francisco Geraldes pada minit 49 dan 61 manakala Shahrul Saad dan Romel Morales turut mencetak gol pada minit ke-71 dan 81.
sumber:- BH
“Pujian perlu diberikan kepada penjaga gol (Muhammad Ashraf Mohamad Fadhil) yang berjaya menggagalkan beberapa peluang keemasan pasukan lawan daripada berpesta gol,” kata Ridzuan