sukan

Skuad Malaysia garang muncul juara Kumpulan B

Malaysia menepati ramalan apabila muncul juara Kumpulan B acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2024 yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia.

Kejayaan itu hadir selepas skuad muda negara melakar kemenangan ketiga dengan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 pada aksi terakhir kumpulan, sebentar tadi.

Sebelum ini, Malaysia sudah mencatat dua kemenangan selepas menang ke atas Macau 5-0 dalam aksi pembukaan sebelum mengatasi Kazakhstan dengan keputusan sama, semalam sekali gus menjamin tiket awal ke suku akhir.

Pada aksi menentang UAE, beregu campuran, Kang Khai Xing-Noraqilah Maisarah Ramdan menyumbang mata pertama skuad negara selepas menundukkan gandingan Dev Vishnu-Taabia Khan 21-9, 21-13.

Perseorangan wanita negara, Siti Zulaikha Azmi diberi tentangan sengit di set pertama sebelum mencatat kemenangan ke atas Mysha Omer Khan 22-20, 21-10 untuk meletakkan Malaysia selesa di depan 2-0.

Skuad negara mengutip mata ketiga menerusi perseorangan lelaki, Muhammad Faiq Masawi yang mengetepikan cabaran Bharath Latheesh 21-18, 21-13.

“Set pertama saya agak kekok dan banyak buat kesilapan mudah, tetapi mujur saya masih boleh bangkit untuk memenanginya.”Set kedua saya bermain dengan lebih baik dan tidak banyak melakukan kesilapan. Saya gembira dapat menyumbang satu mata kepada pasukan dan harap boleh tingkatkan lagi prestasi untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” kata Faiq.

Malaysia meraih mata keempat menerusi beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang mengatasi gandingan Taabia Khan-Sakshi Kurbkhelgi 21-9, 21-13 sebelum beregu lelaki, Kang Khai Xing-Aaron Tai melengkapkan kemenangan dengan menumpaskan Dev Ayyappan-Dhiren Ayyappan 24-22, 21-18.

Selaku juara kumpulan, Malaysia akan diletakkan sebagai pilihan dan mengelak daripada bertemu juara kumpulan lain menjelang undian suku akhir yang akan berlangsung sebaik tamat semua saingan peringkat kumpulan, hari ini.

Tahun lalu skuad negara gagal melepasi peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Thailand juga di Yogyakarta.

sumber:- BH

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara berpasukan campuran adalah pada 2018 apabila mereka membawa pulang gangsa dalam kejohanan di Jakarta.