Switzerland mara ke suku akhir Euro 2024 selepas menewaskan juara bertahan, Itali 2-0 pada pusingan 16 terakhir di Olympiastadion sebentar tadi.
Switzerland bermula baik dengan menguasai babak pertama dan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma memastikan gawangnya tidak dibolosi oleh percubaan Breel Embolo pada minit ke-24.
Bagaimanapun Remo Freuler berjaya menewaskan penjaga gol Paris Saint-Germain itu pada minit ke-37 untuk Switzerland mendahului 1-0.
Skuad kendalian Murat Yakin hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Fabian Rieder, tetapi berjaya ditepis keluar Donnarumma.
Switzerland sekali lagi mengejutkan skuad kendalian Luciano Spaletti apabila sepakan dari luar kotak penalti oleh Ruben Vargas berjaya menewaskan Donnarumma kurang 30 saat selepas sepak mula di babak kedua.
Itali hampir beroleh jaringan sagu hati pada minit ke-52 apabila tandukan ke belakang pertahanan Switzerland, Fabian Schar menuju ke pintu gawang, tetapi terkena tiang.
sumber:- BH
Babak kedua tampak lebih seimbang dengan Itali beberapa kali melakukan gerakan ke kotak penalti Switzerland, namun tidak ada percubaan yang mampu menggugat penjaga golnya, Yann Sommer.
Di suku akhir, Switzerland akan bertemu pemenang perlawanan malam esok antara England dan Slovakia. – AGENSI