Bekas pelari 200 meter (m) olimpik negara, Nazmizan Muhammad berpendapat slot tambahan yang diperoleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebaiknya diberikan kepada pelari pecut, Muhammad Azeem Fahmi kerana ia akan menguntungkan pembangunan sukan itu pada masa akan datang.
Jelasnya, slot itu secara terang diberikan dalam acara 100m, 800m dan maraton di mana Malaysia mempunyai wakil yang amat jelas dalam acara berkenaan, malah pemilihan atlet kelahiran Perak itu juga bakal memberi suntikan semangat untuk menyiapkan dirinya bagi Olimpik seterusnya.
“Kita perlu lihat kepada pembangunan sukan olahraga kerana ini sangat bagus untuk dia dalam melakukan persiapan ke Olimpik akan datang iaitu di Los Angeles 2028. KOM kena buat keputusan yang paling tepat meskipun itu bukan keputusan popular untuk mereka tapi demi pembangunan, perkara ini kena dilakukan.
“Ini adalah satu langkah yang paling terbaik dari KOM sekiranya memilih Azeem untuk melihat pembangunan yang betul di masa hadapan. Secara tidak langsung ia memberi kesan positif kepada akar umbi dan generasi baru.
“Kita perlu ambil kira fakta berdasarkan apa yang diberikan (slot tambahan untuk acara dipertandingkan). Azeem dari awal tahun dan sebelum itu lagi, memang dia bersaing dalam acara 100m bersama atlet berprestasi tinggi dan begitu juga dengan Shereen (Samson Vallabouy ) dalam acara 400m. Di sini, secara jelas, slot itu sesuai untuk siapa.
“Contoh sama seperti pemegang rekod dunia 100m dari Jamaica, Usain Bolt pada awal kemunculannya di Olimpik Athens 2004 gagal mendapatkan pingat namun selepas itu, dia berjaya mengegarkan dunia olahraga dengan rekod demi rekod sehingga kini, tiada siapa boleh pecahkan lagi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Tambah raja pecut Asia Tenggara 2003 itu lagi, faktor Azeem tidak mampu melakukan catatan masa seperti yang diharapkan tidak boleh diambil kira secara keseluruhan kerana setiap jurulatih mahupun atlet, mereka sudah ada periodisasi untuk berikan segalanya dalam sesuatu kejohanan.
“Kita tidak boleh letak prestasi Azeem (catatan masa) sebelum ini sebagai alasan
tidak menghantar dia ke Olimpik Paris. Contoh pemenang pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020, Andre De Grasse, baru-baru ini dia lari 100m dengan catatan masa 10.20 sedangkan dia pemenang pingat di Olimpik sebelum ini (9.89s) dengan catatan rekod peribadi terbaiknya. Dia tahu di mana masa sesuai untuk lakukan perkara itu.
“Kita perlu ingat, setiap atlet ada jangkaan bila untuk ‘peak’ dalam satu-satu kejohanan itu dan bagi Azeem, dia letak sasaran untuk ‘peak’ tahun ini di Olimpik Paris dan buat masa terbaik di situ. Jadi, matlamat utamanya sama ada untuk pecah rekod kebangsaan atau larian bawah 10.0s. Kita kena faham dalam periodisasi, bukan setiap perlumbaan kita perlu harapkan dia ‘peak’.
sumber:- HM
“Sewaktu Sukan Asia Hangzhou, Azeem buat 10.17s di separuh akhir dan di final, di lakukan 10.11s untuk dapatkan gangsa. Kita tidak boleh mengharapkan dia lakukan catatan peribadi terbaik dalam setiap perlumbaan,” kata Nazmizan.