Tuan rumah Euro 2024, Jerman mara ke suku akhir selepas menewaskan Denmark 2-0 pada pusingan 16 terakhir yang dipenuhi drama di Dortmund BVB Stadion sebentar tadi.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann bermula baik apabila berjaya membolosi gawang Denmark menerusi tandukan Nico Schlotterbeck pada minit kelima, tetapi dibatalkan pengadil kerana kekasaran oleh Joshua Kimmich sebelum itu.
Penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel beraksi cemerlang sepanjang babak pertama apabila menyelamatkan deretan percubaan Jerman.
Permainan terhenti pada minit ke-35 susulan hujan lebat dan ribut petir di Dortmund BVB Stadion.Selepas lebih 20 minit, pemain-pemain kembali ke padang dan memanaskan badan beberapa minit sebelum menyambung permainan. Babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, pemain Denmark, Joachim Andersen menyaksikan jaringannya dibatalkan kerana ofsaid dan selang beberapa minit, VAR mendapati bola terkena tangannya dan Jerman diberikan sepakan penalti.
Kai Havertz menyempurnakan sepakan penalti minit ke-53 itu untuk meletakkan Jerman di depan.Denmark berpeluang menyamakan kedudukan menerusi Rasmus Hojlund, tetapi dinafikan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer.
sumber:- BH
Sebaliknya, Jerman menggandakan kedudukan menerusi Jamal Musiala pada minit ke-68.Di suku akhir, Jerman akan bertemu pemenang perlawanan antara Sepanyol dan Georgia. – AGENSI