Pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim sudah mula melakukan senaman ringan di samping meneruskan sesi fisioterapi, kata bapanya Abdul Halim Saad.
Beliau berkata pemain berusia 26 tahun itu telah menunjukkan perkembangan positif dari hari demi hari dengan tahap kesembuhan kini sudah mencapai hampir 95 peratus.
Abdul Halim berkata sokongan penuh yang diberikan pihak pengurusan Selangor FC, rakan-rakan serta keluarga turut menjadi kekuatan semangat untuk Faisal sembuh dengan cepat.
“Terima kasih kepada pengurusan Selangor FC yang beri sepenuh perhatian kepada dia. Mental dia kuat sebab jiwa dia, jiwa bola… dia pun sudah tak fikir benda lain dan hanya mahu kembali bermain bola,” katanya ketika menghadiri Klinik Bola Sepak MADANI di Padang Awam Jawi di sini hari ini.
Menurut Abdul Halim, Faisal serta ahli keluarga yang lain juga enggan memikirkan perkara yang telah berlaku malah sudah reda dengan insiden yang menimpa anaknya itu.
Sementara itu, Presiden Kelab DNA Faisal Halim Ammar Muhammad Pauzi yang turut hadir pada program itu berkata klinik bola sepak dianjurkan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Jawi, SK Sungai Bakap dan Kelab Akademi Wira Muda itu bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan anak muda untuk melahirkan pemain bola sepak seperti Faisal Halim.
Ia juga selaras pengumuman Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid sebelum ini yang mahu kelab tersebut menjelajah ke setiap daerah dengan membawa modul bola sepak Kelab DNA Faisal Halim untuk diajar kepada anak-anak sekitar negeri ini.
“Program hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran mencecah 250 orang terdiri daripada kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun. Sambil itu kita turut bersolidariti untuk Faisal Halim sebagai tanda sokongan dan berharap semangat beliau akan menyerap dalam diri peserta hari ini sekali gus melahirkan lebih ramai Faisal Halim,” katanya.
Dalam kejadian 5 Mei lepas, Faisal melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Selangor.
sumber:- BH
Pada 25 Mei, Selangor FC dalam kenyataan mengesahkan Faisal dibenarkan keluar dari hospital swasta selepas menjalani empat pembedahan. – BERNAMA