sukan

Terkejut menang besar

Penolong ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali akui tidak menyangka pasukannya mampu melakar kemenangan besar menundukkan Sabah FC dalam saingan suku akhir pertama Piala FA malam tadi.

Ini kerana katanya beberapa pemain utama serta ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner masih lagi dikuarantin selepas dijangkiti Covid-19 sekali gus menyaksikan perancangannya sedikit terjejas.

Namun bekas pemain tengah Terengganu itu berkata, situasi itu tidak sesekali melemahkan semangat anak buahnya sebelum membelasah berjaya menumpaskan skuad Sang Badak 4-0.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pesta gol tuan rumah bermula pada minit kesembilan menerusi jaringan Manuel Ott, disusuli Ismaheel Akinade, Marin Pilj sebelum Akinade meledak gol kedua peribadinya hujung babak pertama.

“Sejujurnya saya tidak jangka mampu merakam kemenangan besar pada malam ini (malam tadi), saya hanya mahukan kelebihan dua jaringan kerana kita tahu reputasi skuad lawan bukan calang-calang pasukan.

“Bagaimanapun dengan prestasi yang diperagakan pemain bermula sebaik wisel ditiupkan pengadil, pemain berjaya menjaringkan empat gol, ini bonus buat pemain, terima kasih juga sokongan padu daripada lebih 15,000 peminat yang hadir ke stadium,” kata Badrul Afzan selepas tamat perlawanan.

Ketika ditanya apa ramuan sehingga pasukannya berjaya merakam kemenangan terbesar pada musim ini lebih-lebih lagi kemnya dihimpit Covid-19, beliau akui semangat juang yang tinggi menyaksikan skuadnya berjaya memperoleh bekalan selesa.

“Tiada resipi kemenangan pada malam ini (malam tadi), hanya semangat juang yang tinggi untuk menang diperagakan pemain menyaksikan mereka berjaya merealisasikan impian itu.

“Pada masa sama sebelum perlawanan saya ingatkan pemain agar ‘enjoy’ bermain bagi menghilangkan tekanan, menitikberatkan penguasaan bola dan tidak cepat hilang bola kerana kita tahu fizikal pemain lawan tinggi.

“Satu lagi saya maklumkan kepada pemain agar bermain secara berpasukan dan mengikut perancangan serta disiplin ketika bertahan, Alhamdulillah strategi itu menjadi.

sumber:- HM

“Namun saya ingatkan pemain kemenangan itu tidak menjanjikan sebelah kaki kita sudah layak ke separuh akhir sebagaimana musim lalu, sebaliknya perjalanan masih berliku kerana kita ada 90 minit lagi pada aksi suku akhir kedua pada 6 Julai depan,” katanya.