sukan

Kim Swee mahu balas dendam

‘Masih ada 90 minit lagi, pemain harus bangkit untuk melangkah ke separuh akhir,” kata ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata demikian selepas pasukannya dibelasah Terengganu FC (TFC) 0-4 pada aksi suku akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Bagaimanapun jelas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu, misi itu dilihat sukar lebih-lebih lagi dengan jumlah jaringan yang agak besar selain skuad lawan memiliki barisan pemain yang baik.

“Misi untuk memburu tempat ke separuh akhir dilihat begitu sukar, lagipun kita perlu realistik dengan ketinggalan empat jaringan biarpun bakal beraksi di tempat sendiri pada 6 Julai depan.

“Tapi dalam bola sepak apapun boleh berlaku, jadi apa yang penting pemain harus kekal bersaing dan fokus bermula pada minit awal permainan lagi selain beraksi mengikut perancangan yang lebih baik.

“Jika kita dapat gol awal dan diikuti gol kedua dan seterusnya, ianya sudah tentu dapat meningkat lagi motivasi pemain, jadi mereka tidak boleh berputus asa,” ujarnya selepas tamat perlawanan itu.

sumber:- BH

Pada perlawanan itu, pintu gol skuad Sang Badak dibolosi seawal minit kesembilan menerusi Manuel Ott dan disusuli Ismaheel Akinade, Marin Pilj sebelum Akinade melengkapkan kemenangan bergaya TFC.