Penyerang Brazil, Vinicius Junior meledak dua gol sekali gus membantu kemenangan 4-1 ke atas Paraguay pada aksi Copa America 2024 di Nevada sebentar tadi, bangkit daripada persembahan hambar pada aksi pertama kejohanan itu.
Colombia, yang sudah layak ke suku akhir, mengungguli Kumpulan D dengan enam mata selepas dua perlawanan, diikuti Brazil di tangga kedua dengan empat mata.
Costa Rica di tangga ketiga dengan satu mata dan Paraguay, yang menghuni tangga tercorot selepas dua kekalahan, sudah tersingkir daripada kejohanan itu.
Sejak wisel mula, kepantasan dan kelincahan Vinicius sering mengancam Paraguay di sayap kiri, jauh daripada persembahannya ketika Brazil seri 0-0 dengan Costa Rica pada aksi pertama mereka, yang mana dia jelas tidak berfungsi.
Di sebalik permulaan mengujakan Brazil, Paraguay sebenarnya hampir berada di depan pada minit ke-15 apabila percubaan Damian Bobadilla terbias badan Eder Militao dan hampir memperdaya penjaga gol Brazil, Alisson Becker, yang mempamerkan reaksi memukau untuk menyelamatkan keadaan.
Brazil meraih sepakan penalti pada minit ke-28 kerana bola terkena tangan pemain lawan, dengan sepakan penalti Lucas Paqueta tersasar, tetapi pemain tengah itu menebus kesilapannya tujuh minit kemudian apabila dia mengumpan kepada Vinicius dengan sentuhan pantas untuk melengkapkan satu gerakan sepasukan yang lancar.
Pemain sayap Girona, Savio menggandakan kelebihan Brazil selepas menyempurnakan bola muntah dalam kotak penalti sebelim Vinicius menampan masuk gol kedua buatnya pada masa kecederaan babak pertama.
Paraguay membalas satu gol selepas rehat apabila Omar Alderete melakukan percubaan jarak jauh, namun sebarang impian untuk bangkit musnah apabila Brazil dianugerahkan sepakan pemalti pada minit ke-68 selepas bola terkena tangan Mathias Villasanti dalam kotak penalti.
Di sebalik kegagalan pertamanya, Paqueta tampil dan tidak melakukan kesilapan kali kedua untuk menceriakan penyokong Brazil di Stadium Allegiant.
Menuju ke hujung perlawanan, ketegangan memuncak dan Andres Cubas dilayangkan kad merah kerana menyepak Douglas Luiz, dengan Brazil menggunakan kelebihan seorang pemain itu untuk memastikan tiga mata dalam genggaman.
sumber:- BH
Brazil akan berdepan pendahulu kumpulan Colombia di California pagi Rabu ini, yang mana keputusan seri cukup untuk layak ke suku akhir. Costa Rica pula berdepan Paraguay di Texas. – REUTERS