Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara mahu berjuang habis-habisan bagi meraih kemenangan ke atas Thailand pada aksi terakhir Kumpulan C saingan Piala AFF B-16 2024 di Surakarta, Indonesia, esok.
Walaupun tewas kepada Australia 0-2 pada pertemuan kedua, Rabu lalu, namun barisan pemain kendalian Javier Ribera tidak mudah patah semangat apabila bertekad mahu membenam Thailand, sekali gus layak ke pusingan seterusnya.
Ribera berkata, anak buahnya perlu melupakan segera kekalahan kepada Australia itu dan fokus kepada aksi terakhir menentang Gajah Perang.
“Barisan pemain boleh menampilkan aksi lebih sengit ketika bertemu Thailand. Saya percaya masih ada ruang perlu diperbaiki dan ambil risiko dalam usaha meraih keputusan positif.
“Mengenai perlawanan bertemu Australia, saya anggap ini adalah aksi sangat sukar, tetapi kita bermain dengan baik selain mencipta beberapa peluang, namun gagal menerjah jaring,” katanya.
Pada perlawanan di Stadium Sriwedari, Rabu lalu, skuad muda negara terpaksa akur apabila tewas kepada pasukan lawan kendalian Brad Maloney yang meraih jaringan menerusi Amlani Tatu dan Rhys Williams.
Mengikut rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik kerana mahu menjadikan kejohanan itu sebagai medan persiapan sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia B-17 2024 pada Oktober depan.
sumber:- HM
Namun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin meluahkan hasrat untuk menyaksikan skuad B-16 negara melangkah ke peringkat akhir.