Biarpun Terengganu FC (TFC) akan berdepan Sabah FC tanpa Tomislav Steinbruckner di tepi padang, ia tidak menghalang perancangan skuad itu.
Ini kerana pengendali skuad Penyu itu sudah mempersiapkan pasukan dengan strategi mujarab untuk memburu kemenangan dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Terdahulu, bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd itu mengalami gejala COVID-19 yang memaksanya berehat dan tugasnya bakal diambil penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali.
“Biarpun tanpa saya akibat COVID-19, ia tidak sesekali menjejaskan perancangan kami untuk melakar keputusan yang positif berdepan Sabah FC.
“Lagipun kami sudah mengatur strategi bagi menghadapi perlawanan yang penting itu sebelum aksi suku akhir kedua nanti selain beberapa pemain sudah kembali sihat.
“Apa yang saya harapkan, pemain yang diturunkan nanti perlu sabar dan bijak mengambil peluang terutama untuk menjaringkan gol kerana keputusan itu penting bagi meningkatkan lagi motivasi mereka,” kata Steinbruckner.
Steinbruckner turut memaklumkan, pertahanan importnya Mathew Steenvoorden bakal membuat penampilan pertama musim ini manakala penyerang, Ivan Mamut terlepas peluang kerana masih belum pulih daripada kecederaan.
sumber:- BH
“Bagaimanapun dia (Steenvoorden) perlu bersaing dengan beberapa pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, jika dia cergas kemungkinan besar bakal beraksi buat kali pertama pada musim ini,” katanya.