sukan

Hamidin mohon menghadap Sultan Selangor

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda menzahirkan rasa kecewa dan murka susulan hukuman dikenakan ke atas Selangor FC (SFC).

Hamidin menjelaskan beliau sudahpun menghubungi pihak Istana Selangor mengenai pertemuan untuk menghadap Sultan Sharafuddin dan akan menjelaskan mengenai perkara terbabit di hadapan baginda.

“Saya maklum dengan dukacita Tuanku Sultan Selangor mengenai perkara terbabit iaitu keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan saya sudah menghubungi pihak istana, semalam untuk pertemuan menghadap Tuanku Sultan.

“Saya susuli hari ini dengan warkah untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor. Insya-Allah, saya akan cuba dapat selesaikan untuk bertemu Tuanku Sultan Selangor dan memberi penjelasan,” kata Hamidin.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli FAM khususnya Hamidin berhubung kes ketidakhadiran SFC ke perlawanan Sumbangsih, 10 Mei lalu.

Dalam titah kenyataan, baginda turut terkejut kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara sedangkan beliau sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada baginda.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

“Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.

“Disebabkan itu, beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Sumbangsih kepada pihak lawan,” titah Sultan Selangor.

Menerusi titah itu, baginda turut menzahirkan pandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan sudah pun diberikan kepada pasukan lawan.

“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain,” titah baginda.

Menurut Sultan Selangor lagi, baginda juga pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.

sumber:- BH

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung dalam FAS. Namun jika Beta peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” titah Sultan Sharafuddin.