England dijadual berdepan Slovakia pada aksi pusingan 16 terbaik di Euro 2024 selepas tamat saingan peringkat kumpulan, awal pagi tadi.
Sebelum aksi terakhir kumpulan, England pada awalnya diramal berdepan Belanda tetapi kemenangan mengejut Georgia ke atas Portugal 2-0 mengubah segalanya.
Gol awal Khvicha Kvaratskhelia dan penalti yang disudahkan Georges Mikautadze pada separuh masa kedua memberikan kemenangan berharga buat Georgia yang menyaksikan mereka menempah tempat ke pusingan 16 terbaik pada penampilan sulung di kejohanan itu.
Kemenangan itu memberi ‘rahmat’ buat England dengan skuad The Three Lions berjaya mengelak daripada bertemu Belanda sebaliknya akan menentang pasukan ketiga Kumpulan E, Slovakia.
Slovakia mara selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Romania dalam aksi terakhir mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati.
Situasi itu menyaksikan England kini mempunyai laluan cerah untuk mara ke final dengan Perancis, Sepanyol, Portugal, Belgium dan tuan rumah Jerman semua berada dalam laluan undian yang berasingan.
Sekiranya skuad bimbingan Gareth Southgate mengatasi Slovakia, awal pagi Isnin ini, mereka akan berdepan juara bertahan Itali atau Switzerland di suku akhir.
Mereka kemudian dijangka berdepan Austria yang mempamerkan prestasi luar biasa di bawah bimbingan Ralf Rangnick di separuh akhir selepas menjuarai Kumpulan D mengatasi Perancis dan Belanda.
Aksi final bakal menemukan England dengan salah satu pasukan gergasi Eropah sekali gus berpeluang menebus kekecewaan tewas di tangan Itali pada final edisi 2020 menerusi penentuan penalti di Stadium Wembley.
Bagaimanapun, anak buah Southgate perlu mempamerkan meningkatkan prestasi jika mahu menamatkan kemarau kejuaraan dalam kejohanan utama selepas hanya menang satu perlawanan peringkat kumpulan.
sumber:- BH
England melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Serbia dalam perlawanan pembukaan sebelum seri dengan Denmark dan Slovenia. – AGENSI