Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia berazam untuk mencipta kejayaan pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, kata Ketua Kontinjen Negara (CDM) Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin.
Beliau berkata pemain nombor tujuh dunia itu kelihatan teruja untuk membuat penampilan kedua di pentas Olimpik.
Ia adalah penampilan kali kedua Zii Jia beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu selepas tampil kali pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikannya tewas di tangan sensasi China, Chen Long di pusingan kedua.
“Saya dapat melihat kesungguhan dan semangat Zii Jia untuk membuktikan sesuatu di Paris. Zii Jia juga memaklumkan bahawa dia sememangnya menantikan Sukan Olimpik ini untuk mencapai sesuatu untuk Malaysia.
“Saya minta Zii Jia untuk mengekalkan fokusnya semasa latihan dan tumpuan terhadap perlawanan demi perlawanan semasa di Paris. Kami akan menunggu undian badminton yang dijangka berlangsung pada 12 Julai,” katanya dalam catatan di laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.
Terdahulu, Hamidin meninjau sesi latihan Zii Jia, yang memenangi Terbuka Australia minggu lalu dan pasukannya di Sports Arena Sentosa, di sini awal hari ini.Zii Jia, 26, kini dalam fasa latihan terakhir sebelum berlepas ke Paris.
sumber:- BH
Beliau kini berlatih bersama-sama rakan sepelatih Lee Shun Yang, Lim Chong King, Tan Choong Yen dan Ter Chun Long di bawah jurulatih Wong Tat Meng – BERNAMA