Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin harus menjadi tokoh yang menjadi bualan hangat hari ini.
Ini selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Hamidin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.
Dalam titah kenyataan hari ini, baginda turut terkejut kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada baginda.
Bagaimanapun, mungkin tidak ramai mengenali Hamidin atau dianggap orang nombor satu bola sepak Malaysia ketika ini.Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 pada Kongres FAM Ke-54 di Hotel Hilton Petaling Jaya yang berlangsung pada 14 Julai 2018.
Beliau yang menjadi Presiden FAM ketujuh sejak 1951 turut mencipta sejarah tersendiri apabila muncul individu pertama daripada kalangan orang biasa bergelar presiden badan induk itu selepas enam presiden terdahulu terdiri daripada Perdana Menteri, Menteri Kabinet serta Kerabat Diraja.
Hamidin juga berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, selepas menang tanpa bertanding pada Kongres ke-57 badan induk itu pada Mac 2021.
Hamidin dilahirkan pada 24 Disember 1965 di Gombak, Selangor dan beliau terlebih dahulu memulakan kerjaya dalam bidang perbankan selama 11 tahun di tiga buah bank berlainan iaitu Bank Pertanian Malaysia (1984-1985), Malayan Banking Berhad (1985-1991) dan Perwira Habib Bank Berhad (1991-1995).
Namun minat mendalam terhadap bola sepak termasuk menjadi antara orang kuat dalam Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) akhirnya menyaksikan Hamidin membuat keputusan drastik meninggalkan bidang perbankan untuk menyertai Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebagai Setiausaha Eksekutif pada 1 Ogos 1995.
Tiga tahun menjalankan tugas pentadbiran bola sepak Selangor dengan cemerlang, Hamidin kemudian dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, jawatan yang terus disandang beliau selama 15 tahun sehingga 2013.
Sepanjang berkhidmat bersama FAS dari 1995 hingga 2013 itu, pasukan Selangor berjaya memenangi sebanyak 18 kejuaraan termasuk lima kali juara Piala Malaysia, empat kali juara Piala FA dan dua kali juara Liga Super.
Dalam tempoh berkenaan juga, Hamidin mula mengembangkan bakat kepimpinan beliau dalam bidang pentadbiran bola sepak ke peringkat kebangsaan pula selepas terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM bagi penggal 2007-2010.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM ketika itu, Hamidin dilantik sebagai pengurus pasukan futsal lelaki kebangsaan selama empat tahun termasuk ketika memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2007 di Thailand.
Seterusnya pada Kongres FAM Ke-47 yang berlangsung pada 2010, Hamidin bertanding merebut jawatan Naib Presiden FAM membabitkan lapan calon. Beliau berjaya mengisi salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden FAM itu bagi penggal 2010-2014.
Selain diberi peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM pada penggal berkenaan, Hamidin turut dilantik sebagai pengurus pasukan B-23 kebangsaan ke Sukan SEA 2011 di Indonesia yang mana skuad kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee itu berjaya memenangi pingat emas selepas menewaskan tuan rumah, Indonesia pada aksi final di Gelora Bung Karno, Jakarta.
Seterusnya Hamidin diumum sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu pada 27 Jun 2013 oleh Presiden FAM ketika itu, Sultan Ahmad Shah bagi menggantikan Datuk Seri Azzuddin Ahmad yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
Hamidin meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung FAS dan memulakan tugas secara rasmi sebagai Setiausaha Agung FAM pada 1 Julai 2013.
Sepanjang tempoh lima tahun sebagai Setiausaha Agung FAM sehingga 14 Julai 2018, Hamidin berkhidmat dengan tiga Presiden FAM iaitu Sultan Ahmad Shah (2013-2014), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (2014-2017) dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (2017-2018).
Selain itu, Hamidin turut menjadi pengurus pasukan kebangsaan dari 15 Mei 2015 hingga 14 Julai 2018.
Hamidin turut mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.
sumber:- BH
Sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pembabitannya dalam pentadbiran bola sepak, Hamidin dianugerahkan darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang pada 2009 dan darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) oleh Sultan Selangor pada 2012, kedua-duanya membawa gelaran Dato’ dan darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah membawa gelaran Datuk pada 9 September 2019.