sukan

Penantian Harimau Malaya berbaloi

Segala penat lelah menghadap kerenah birokrasi dan turun naik pejabat kerajaan ternyata berbaloi buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang terletak di Presint 5, di sini, sudah mula di bina pada bulan ini.

Pusat latihan terbabit yang terletak di kawasan berkeluasan 5.2 hektar itu dengan Fasa 1 projek terbabit menggunakan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berjumlah RM24 juta manakala Fasa 2 pula menggunakan peruntukan RM45 juta daripada Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, barisan pemain kebangsaan tidak perlu lagi ‘menumpang’ atau ke lokasi tertentu untuk menjalani latihan sebelum mengharungi perlawanan antarabangsa.

Beliau berkata, NTC berkenaan dilengkapi serba canggih dengan tiga padang disediakan selain beberapa fasiliti atau kemudahan khusus untuk skuad kebangsaan.

“Bagi FAM, kami bersyukur selepas selesai majlis ini kerana perjalanan yang diharungi cukup panjang.

“Kalau boleh saya katakan kita sudah merancang hampir 10 ke 15 tahun yang lepas sejak zaman Almarhum (Sultan Haji Ahmad Shah) lagi.

“Ketika itu baginda berhasrat mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak di rantau Asia,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pecah Tanah NTC di Presint 5, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John dan Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Mengikut rekod, majlis pecah tanah terbabit adalah hasil daripada pendedahan ekslusif Arena Metro yang melaporkan projek berkenaan sudah lima tahun diumumkan namun sehingga kini ‘batang hidung’ bangunan atau kemudahan tidak kelihatan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan banyak pihak mengenai status pembinaannya.

Mengikut perancangan asal, projek berkenaan yang diumumkan pada 2019 itu sepatutnya bermula pada 2022 seperti yang diberitahu bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seterusnya dijangka siap pada 2025.

Selain itu, NTC juga adalah sebahagian daripada perancangan penubuhan bandar bola sepak yang dilaksanakan di atas tanah berkeluasan 5.3 hektar, di Presint 5, Putrajaya.

Projek berkenaan adalah kesinambungan daripada pembinaan ibu pejabat baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan majlis pecah tanah disempurnakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2022.

Sementara itu, Hamidin tidak menolak kemungkinan beberapa NTC tambahan akan dibina sekitar Malaysia selepas projek rintis di Putrajaya dijangka selesai pada 2027 nanti.

sumber:- HM

“Kalau NTC di Putrajaya ini sudah siap, mungkin kita boleh fikirkan untuk bina NTC di lokasi lain seperti di wilayah utara atau Pantai Timur.”Apa yang penting, kita tunggu projek di sini siap dulu dijangka pada awal 2027 nanti,” katanya.