Skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara perlu menunggu perlawanan ketiga untuk mengesahkan slot ke pusingan suku akhir Piala AFF B-16 2024 selepas tewas 0-2 kepada Australia, sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sriwedari, Surakarta itu, skuad muda kendalian Javier Jorda Ribera dilihat mahu meneruskan momentum susulan kemenangan 5-0 yang diraih ke atas Timor Leste, Ahad lalu.
Namun, situasi sebaliknya yang berlaku apabila pasukan Australia berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan sebelum meraih gol pendahuluan menerusi ledakan Amlani Tatu pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, skuad muda Harimau Malaya berusaha untuk bangkit dengan melakukan beberapa percubaan ke gawang pasukan remaja Socceroos.
Harapan untuk mencuri satu mata tidak kesampaian selepas kelekaan pada penghujung saingan menyaksikan Australia berjaya menjarakkan kedudukan hasil jaringan Rhys Williams.
sumber:- BH
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan nasib pasukan negara akan ditentukan pada aksi terakhir Kumpulan C apabila dijadual bertemu Thailand pada Sabtu ini.