Gareth Southgate kesal dengan persekitaran ‘luar biasa’ dilalui England apabila pengendali Three Lions itu dilempar cawan manakala pemainnya diejek selepas terikat 0-0 dengan Slovenia di saingan Euro 2024 awal pagi tadi.
Skuad kendalian Southgate muncul juara Kumpulan C meskipun berdepan prestasi hambar buat kali ketiga berturut-turut yang nyata tidak menggembirakan penyokong mereka di Cologne.
Ketika pemain Slovenia dan penyokong mereka meraikan kejayaan selepas mara ke pusingan kalah mati, Southgate dan pemain pula berdepan nasib berbeza – diejek ketika melalui penyokong England.
Southgate menjadi sasaran lemparan cawan minuman namun ia tidak mengena pengendali Three Lions berkenaan namun apa yang pasti, ia meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwanya.
Selepas berdepan kritikan pedas dari bekas pemain England susulan terikat 1-1 dengan Denmark, insiden terbaharu ini tentunya bakal mencipta atmosfera tidak sihat menjelang aksi di pusingan kalah mati nanti.
Justeru itu, Southgate merayu penyokong England untuk mencipta persekitaran sokongan yang lebih positif terhadap pasukan kendaliannya.
“Saya tidak pernah melihat pasukan lain yang layak dan menerima reaksi hampir sama seperti ini. Saya sangat berbangga dengan pemain kerana cara mereka menanganinya.
“Pemain kekal tenang dalam perlawanan biarpun perlu mengharungi persekitaran yang mencabar. Ia mengingatkan saya kembali ketika saya bermain bersama England.
“Saya tidak akan berundur daripadanya. Saya memahami naratif ke atas saya, lebih baik kepada saya berbanding ke arah mereka. Ia mewujudkan suasana yang luar biasa untuk menguruskannya,” katanya.
Southgate dalam pada itu mendakwa, kejayaan England di bawah lapan tahun kendaliannya sebelum ini termasuk muncul naib juara Euro 2020 dan semifinalis Piala Dunia 2018, mencipta jangkaan tinggi terhadap pasukannya.
Dalam pada itu, Southgate yang kontraknya bakal tamat pada penghujung tahun ini memberi bayangan yang dia akan meninggalkan England sekiranya mereka tidak menjuarai Euro.
sumber:- BH
Namun dia masih mengekalkan pemikiran positif biarpun berdepan pandangan sinis serta kritikan yang berpunca daripada kempen hambar England. – AFP