sukan

Euro 2024: Muncul juara kumpulan luar biasa

Jurulatih Austria, Ralf Rangnick berkata ia sesuatu yang “luar biasa” buat pasukannya untuk menjuarai kumpulan mereka pada Euro 2024 di depan Perancis dan Belanda awal pagi tadi.

Anak buah Rangnick meraih kemenangan dramatik untuk menutup aksi Kumpulan D dengan kemenangan 3-2 ke atas Belanda, yang terpaksa berpuas hati di tangga ketiga, manakala Perancis diikat 1-1 oleh Poland yang sudah tersingkir.

Austria melonjak daripada kedudukan tangga ketiga sebelum sepak mula dan akan berdepan sama ada Turkiye, Republik Czech atau Georgia pada pusingan 16 terakhir di Leipzig pada 2 Julai ini.

Mereka tidak pernah layak ke suku akhir Kejuaraan Eropah.”Kami memulakan kejohanan dengan kekalahan 1-0 menerusi gol sendiri menentang Perancis dan jika anda tahu tekanan yang kami hadapi menentang Poland (menang 3-1) apabila kami sedar kami mesti menang untuk mempunyai peluang realistik layak, maka untuk berakhir di tangga pertama kumpulan sesuatu yang luar biasa,” kata Rangnick kepada wartawan.

“Jika anda bertaruh kami menang di sini dan Perancis tidak menang anda pastinya seorang lelaki atau wanita yang amat kaya…

“Tetapi itulah perkara hebat mengenai bola sepak dan kami mendapat pulangan hasil persembahan bertenaga daripada pemain saya.”

Rangnick bertindak mengejutkan apabila membuat empat pertukaran daripada pasukan yang menundukkan Poland, menyedari Austria akan layak kecuali mereka mengalami kekalahan lebih daripada empat gol.

Beliau berkata, gol penyamaan lewat permainan Itali menentang Croatia semalam membolehkannya merehatkan sesetengah pemain yang mungkin dikenakan penggantungan automatik satu perlawanan jika menerima kad kuning.

sumber:- BH

“Jika gol pada perlawanan Itali tidak masuk pada minit terakhir, kami mungkin mempunyai barisan berlainan kerana kami secara asasnya tidak layak,” tambah Rangnick. – AFP